Konvoi Benazir dibom

October 19th, 2007

   

   
            

   

   


    SUASANA KECOH: Penyokong Benazir bergegas turun menyelamatkan diri selepas  serangan bom bunuh diri di Karachi, kelmarin.

               

   

Bekas Perdana Menteri Pakistan terselamat dalam serangan bunuh diri

KARACHI: Bekas Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto
terselamat dalam serangan bunuh diri yang disasarkan kepadanya di sini,
tengah malam kelmarin tetapi meragut sekurang-kurangnya 136 nyawa
penyokong dan polis serta hampir 400 lain cedera.

Benazir, yang menyertai konvoi sambutan kepulangannya tidak
mengalami sebarang kecederaan dalam serangan kira-kira lima meter dari
tempatnya, membabitkan dua letupan � bom tangan dilemparkan ke arah
orang ramai, disusuli tindakan penyerang meletupkan diri, disifatkan
antara terburuk di Pakistan.

   

   

Sejurus selepas letupan, pemimpin parti
pembangkang itu segera dibawa pasukan keselamatan meninggalkan lori
yang diubah suai bagi membawanya dari lapangan terbang ke jalan raya di
Karachi, bandar terbesar Pakistan yang sesak dengan ratusan ribu
penyokong Benazir.

  Beliau dibawa ke rumah keluarganya dan membatalkan semua rancangan menemui penyokong dalam perarakan baru, semalam.

Setakat ini tiada sebarang pihak mengaku bertanggungjawab atas
serangan itu tetapi Benazir menyalahkan penyokong bekas pemimpin
tentera, Allahyarham Mohammed Zia ul-Haq sebagai dalang serangan
berkenaan.

 

   
                   

   

   

   

DETIK CEMAS: Benazir dibawa penyokongnya menaiki kenderaan  ke tempat selamat.

                   

   

Pegawai kanan polis, Manzoor Mughal, yang terbabit dalam siasatan,
berkata pihaknya sudah menemui kepala penyerang bunuh diri itu dan
ujian DNA sedang dilakukan. Bahan letupan seberat 15 hingga 20 kilogram
digunakan dalam serangan itu.

Polis turut mengumumkan wang ganjaran lima juta rupee
(RM278,800) bagi sebarang maklumat sehingga tertangkapnya dalang
berkenaan.

Tompokan darah dan cebisan mayat bertaburan di sekitar tempat
kejadian ketika pegawai perubatan bergelut mengendalikan bilangan
mangsa serangan itu. Pihak berkuasa di sekurang-kurangnya lima hospital
Karachi berkata lebih 130 mati dan 400 lain cedera.

"Senario itu tidak ubah seperti melintasi rumah mayat.
Keadaan amat mengerikan, ada mayat yang sempurna, manakala yang lainnya
tidak dapat dikenali langsung," kata seorang wartawan Agence
France-Presse (AFP) yang turut menyertai rombongan Benazir.

   

                        

   
Serangan itu berlaku beberapa jam selepas Benazir kembali dari buangan.
Beliau menitiskan air mata ketika buat pertama kali menjejakkan kaki di
tanah airnya sejak hidup dalam buangan pada 1999, dengan menepis amaran
bahawa kumpulan al-Qaeda dan Taliban mahu membunuhnya.

"Ini satu tindakan keganasan yang mensasarkan Benazir selain
bertujuan mensabotaj proses demokratik," kata Menteri Dalam Negeri,
Aftab Sherpao tetapi tidak menyatakan kumpulan mana bertanggungjawab.

Ketua Polis Karachi, Azhar Farooqi berkata sebutir bom
tangan dilemparkan ke arah orang ramai sebelum penyerang meletupkan
dirinya. "Corak serangan itu menunjukkan ia sememangnya dirancang
secara teliti dan dilakukan pakar," katanya.

Anggota polis, Falak Ahmad berkata Benazir sedang melambai ke
arah orang ramai yang berkumpul di tepi jalan bagi meraikan
kepulangannya di Karachi, bandar kelahiran pemimpin itu.

"Benazir sedang turun ke bahagian tengah lori yang terbuka
itu apabila letupan berlaku. Letupan itu cuma lima meter jaraknya dari
lori berkenaan. Sebelum itu, Benazir berada di bahagian dalamnya.
Letupan itu terlalu kuat sehinggakan memusnahkan tiga kereta peronda
polis," katanya.

Penyokong Benazir yang kelihatan terkejut, bertempiaran lari
mencari saudara mara serta membantu mangsa untuk dibawa ke hospital. -
AFP/Reuters




Comments RSS

Leave a Reply

Name (required)

Email (required)

Website

Speak your mind